Wednesday, August 10, 2011

Ramadhan: Puasa Berkualiti


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian, Puasa di bulan Ramadhan merupakan ibadah istimewa yang akan dinilai secara langsung oleh Allah swt sehingga ia tidak dibataskan hanya dengan pahala 10 hingga 700 kali ganda. Rasullullah saw bersabda : “Setiap amal anak Adam dilipatgandakan; satu kebaikan dibalas dengan sepuluh (10) kebaikan yang serupa hingga tujuh ratus (700) kali. Allah Azza wa Jalla berfirman, “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya…” (HR Muslim, An-Nasaie, Ad-Darimi, dan Al-Baihaqi) Oleh yang demikian, nilai puasa di sisi Allah swt adalah sangat bergantung pada kualitinya. Semakin ia berkualiti, semakin tinggi nilainya di sisi Allah swt. Sebaliknya : Puasa yang kualitinya sekadar menahan lapar dan dahaga, ia tidak bernilai apa-apa di sisi Allah swt. Rasulullah saw bersabda lagi : “Betapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapatkan apa-apa baginya kecuali rasa lapar.” (HR An-Nasaie dan Ibnu Majah) Adalah menjadi suatu kemestian bahwa kita :
  1. Melakukan amal dengan bersungguh-sungguh.
  2. Berusaha mendapatkan kualiti yang tertinggi.
Inilah sebab mengapa Dr. Musthafa Dieb Al-Bugho dan Muhyidin Mistu dalam kitab mereka ‘Al-Wafi’ iaitu syarah kepada hadits 40 ketika menjelaskan hadits berikut : "Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan dalam segala hal .” (HR Muslim) Mereka berdua mengatakan: Hadits ini merupakan nash (dalil) yang menunjukkan kemestian berlaku ihsan iaitu dengan melakukan suatu perbuatan dengan :
  1. Terbaik.
  2. Usaha maksima.
Maka, begitulah juga dengan puasa. Marilah kita tunaikan puasa kita dengan sebaik-baiknya sehingga ia benar-benar menjadi puasa yang berkualiti. Jadi, apakah kriteria-kriteria puasa yang berkualiti itu? 1. IKHLAS Inilah penentu awal kualiti puasa kita iaitu keikhlasan. Ia tidak hanya berlaku untuk puasa semata-mata bahkan seluruh amal akan ditentukan pertama kalinya oleh ukuran ini. Jika ia melakukannya dengan ikhlas kerana Allah maka amalnya akan menuju Allah (berpeluang diterima oleh Allah), tetapi jika ia melakukannya kerana selain Allah, maka amal itu tidak memiliki peluang sama sekali untuk menjadi bernilai di sisi Allah swt. Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya segala amal tergantung pada niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan.” (HR Bukhari dan Muslim) Demikian juga dengan keampunan yang dijanjikan oleh Allah bagi orang yang berpuasa kerana tidak semua orang akan mendapatkan keampunan ini secara percuma. Hanya mereka yang ikhlas sahaja yang berhak mendapatkan janji ini dan membuktikannya di hadapan Allah swt di akhirat kelak. ‘Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap perhitungan (pahala) akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘alaih) Hadits di atas sekaligus menjadi dalil bahwa mengharapkan pahala dari Allah swt adalah termasuk dalam kategori ikhlas. Ini berbeza dengan ungkapan golongan sufi yang ekstrim mengatakan tentang keikhlasan: Ya Allah, Jika aku beribadah kepadaMu kerana mengharapkan syurga. Haramkanlah aku memasukinya. Jika aku beribadah kepadaMu kerana takut neraka. Campakkanlah aku ke dalamnya. Alhamdulillah, menjaga keikhlasan puasa itu lebih mudah daripada ibadah lain kerana puasa adalah amalan batin. Maka Imam Al-Ghazali menjelaskan dalam kitab ‘Ihya’ Ulumiddin’ : “Puasa itu sendiri adalah rahsia yang padanya tidak ada amal yang disaksikan. Seluruh amal ketaatan itu disaksikan dan dilihat oleh makhluk sedangkan puasa hanya dilihat oleh Allah Azza wa Jalla, kerana puasa itu amal batin dengan semata-mata kesabaran.” 2. MENINGGALKAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA Tentu sahaja untuk menjadi berkualiti, puasa itu mestilah sah, ertinya, kita mesti meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sayyid Sabiq dalam kitab ‘Fiqh Sunnah’ menjelaskan bahwa perkara-perkara yang membatalkan puasa itu dibahagi kepada dua : PERTAMA : Perkara-perkara yang membatalkan puasa dan wajib qadha’.
  1. Makan atau minum dengan sengaja.
Jika seseorang makan dan minum dalam keadaan lupa, itu tidak membatalkan puasanya. “Barangsiapa yang lupa, padahal ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, hendaklah ia meneruskan puasanya. Kerana ia diberi makan dan minum oleh Allah.” (HR  Jamaah)
  1. Muntah dengan sengaja "Barangsiapa didesak muntah, ia tidak wajib mengqadha’, tetapi siapa yang menyengaja muntah hendaklah ia mengqadha’. (HR Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Daruquthni dan Hakim)
  2. Mengeluarkan mani samada kerana mencium isterinya atau hal lain di luar persetubuhan dan mimpi. Jika bersetubuh ia dikenakan kafarat dan jika kerana mimpi maka tidak mempengaruhi puasanya.
  3. Meniatkan berbuka. Oleh kerana niat merupakan rukun puasa, maka niat berbuka bererti membatalkan puasanya.
KEDUA : Perkara-perkara yang membatalkan puasa dan wajib qadha’ dan kafarat. Mengenai tindakan membatalkan puasa dan kerananya wajib qadha serta kafarat, menurut jumhur ulama hanyalah bersetubuh dengan isteri dan tidak ada yang lain. Kafaratnya adalah memerdekakan budak, jika tidak mampu maka berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu juga maka hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin. Abu Hurairah berkata: Seorang laki-laki datang mendapatkan Nabi saw. Ia berkata, “Celaka aku, wahai Rasulullah!” Nabi saw bertanya, “Apa yang mencelakakan itu?” “Aku menyetubuhi isteriku pada bulan Ramadhan.” Maka tanya Nabi saw “Adakah padamu sesuatu untuk memerdekakan budak?” “Tidak” ujarnya. Nabi bertanya lagi, “Sanggupkah engkau berpuasa dua (2) bulan terus menerus?” “Tidak”, ujarnya. Nabi bertanya lagi, “Apakah engkau memiliki makanan untuk diberikan kepada enam puluh (60) orang miskin?” “Tidak” ujarnya. Laki-laki itu pun duduk, kemudian dibawa orang kepada Nabi satu bakul besar berisi kurma. “Nah, sedekahkanlah ini” titah Nabi. “Apakah kepada orang yang lebih miskin daripada kami?” Tanya laki-laki itu. “Kerana di daerah yang terletak di antara tanah yang berbatu-batu hitam itu, tidak ada suatu keluarga yang lebih memerlukannya daripada kami” Maka Nabi pun tertawa hingga geraham beliau terlihat lalu berkata, “Pergilah, berikanlah kepada keluargamu.” (HR Jamaah) 3. MENINGGALKAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBUATKAN PUASA SIA-SIA Ikhlas serta meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja tidak cukup untuk menjadikan puasa kita berkualiti. Unsur lain yang perlu kita lakukan adalah meninggalkan perkara-perkara yang menjadikan puasa kita sia-sia. “Betapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapatkan apa-apa baginya kecuali rasa lapar.” (HR An-Nasaie dan Ibnu Majah) Iaitu dengan menjauhi perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah swt, di antaranya adalah menjaga emosi kita agar tidak marah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw : “Puasa adalah perisai, maka barangsiapa sedang berpuasa janganlah berkata keji dan berteriak keras, jika seseorang mencela atau mengajaknya bertengkar hendaklah dia mengatakan : aku sedang berpuasa.” (Muttafaq ’alaih) Begitu juga dengan perkataan dan perbuatan dusta, boleh membuatkan puasa menjadi sia-sia dan oleh kerana itu, mestilah dijauhi. “Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan palsu dan pengamalannya, maka Allah tidak mempunyai keperluan untuk meninggalkan makanan dan minumannya (puasanya).” (HR Bukhari) 4. MENINGGALKAN PERKARA-PERKARA YANG TIDAK BERMANFAAT Sering kita jumpai, ada orang yang berpuasa lalu mengisi siang harinya dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat dengan alasan agar ia lupa akan rasa lapar dan dahaga selama ia berpuasa misalnya dengan menghabiskan masa seharian :
  1. Di depan televisyen.
  2. Bermain permainan komputer.
Perkara-perkara seperti ini hendaklah ditinggalkan agar puasa kita benar-benar berkualiti. “Di antara tanda sempurnanya Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah) 5. BERPUASA DENGAN SELURUH ORGAN TUBUH, FIKIRAN DAN HATI Inilah yang diistilahkan sebagai puasa khusus oleh Imam Al Ghazali dalam kitab ‘Ihya’ Ulumiddin’ dan ditegaskan semula oleh Ibnu Qudamah dalam kitab ‘Mukhtashar Minhajul Qasidin’. PERTAMA : Berpuasa mata dengan menahannya dari pandangan kepada sesuatu :
  1. Yang tercela.
  2. Dibenci oleh syari’at.
  3. Yang melalaikan.
Allah swt berfirman : “Pandangan itu salah satu anak panah Iblis yang berbisa. Barangsiapa meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah Azza wa Jalla memberinya keimanan yang manisnya dirasai dalam hatinya.” (HR Hakim) KEDUA : Berpuasa lidah dengan memeliharanya dari :
  1. Berbicara tanpa arah.
  2. Berdusta.
  3. Mengumpat.
  4. Memfitnah.
  5. Berkata buruk.
  6. Berkata kasar.
  7. Permusuhan.
  8. Menzalimi orang lain.
“Puasa adalah perisai, maka barangsiapa sedang berpuasa janganlah berkata keji dan berteriak keras, jika seseorang mencela atau mengajaknya bertengkar hendaklah dia mengatakan: aku sedang berpuasa.” (Muttafaq ’alaih) KETIGA : Berpuasa telinga dari mendengarkan segala sesuatu yang :
  1. Haram.
  2. Makruh.
Ini adalah kerana segala sesuatu yang haram diucapkan adalah haram pula untuk didengarkan. Bahkan, Allah swt mengumpamakan orang yang mencari pendengaran haram dengan pemakan harta haram. “Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan makanan haram.” (QS Al-Maidah : 42) "Mengapa orang-orang alim mereka, pendita-pendita mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram. Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan.” (QS Al-Maidah : 63) KEEMPAT : Berpuasa tangan dari :
  1. Menzalimi orang lain.
  2. Mengambil sesuatu yang bukan haknya.
  3. Melakukan perbuatan yang dilarang oleh syari’at.
KELIMA : Berpuasa kaki dari berjalan ke arah yang diharamkan oleh Allah swt. KEENAM : Berpuasa hati dari penyakit-penyakit kerohanian seperti :
  1. Dengki.
  2. Riya’.
  3. Marah.
  4. Kecintaan pada dunia.
“Janganlah kamu saling membenci, saling memutus hubungan, saling mendengki dan saling bermusuhan. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari dan Muslim) KETUJUH : Berpuasa fikiran dari membayangkan perkara-perkara :
  1. Yang disukai oleh syahwat.
  2. Yang dibenci oleh syari’at.
  3. Tipu daya dan lintasan fikiran yang merosakkan minda.
6. MEMPERBANYAKKAN AMAL SOLEH SELAMA BULAN RAMADHAN Ramai orang tersilap faham dengan memperbanyakkan tidur ketika bulan puasa kerana merasakan itu sebagai ibadah. Memang ia lebih baik dibandingkan jika ia melakukan perkara-perkara yang makruh atau haram.  Namun, tentunya lebih baik lagi jika dalam masa puasa, kita memperbanyakkan amal soleh dan mengisinya dengan aktiviti-aktiviti positif yang bernilai ibadah di sisi Allah swt seperti :
  1. Memperbanyakkan tilawah Al-Qur’an.
  2. Berzikir kepada Allah swt.
  3. Membanyakkan solat sunnah.
  4. Bertafakur.
  5. Mengkaji ilmu-ilmu agama.
  6. Memperbanyakkan infaq.
Rasulullah saw dan para shahabatnya sangat mengerti tentang keutamaan Ramadhan dan bagaimana memperbaiki kualiti puasa mereka dan oleh yang demikian, dalam kesempatan istimewa itu mereka memperbanyakkan amal soleh. Ibnu Abbas ra menuturkan bagaimana peningkatan amal soleh Rasulullah saw, khususnya tilawah dan infaq sebagai berikut: “Rasulullah saw adalah orang yang paling dermawan. Dan kedermawanannya memuncak pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya setiap malam untuk tadarus Al-Qur’an. Sungguh Rasulullah saw lebih murah hati melakukan kebaikan daripada angin yang berhembus.” (HR Bukhari) Demikianlah cara untuk mewujudkan puasa yang berkualiti. Semoga kita termasuk orang-orang yang dimudahkan oleh Allah swt sehingga dapat berpuasa dengan kualiti seperti itu dan akhirnya :
  1. Mencapai darjat taqwa.
  2. Mendapatkan keampunan dari Allah swt.
  3. Meraih ridha Allah swt.
  4. Dimasukkan ke dalam syurgaNya.
Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk kami melaksanakan ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh, berkualiti serta menepati tujuan ia disyari’atkan. Jauhkanlah kami dari terjatuh ke dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa atau mengurangkan pahala dan ganjaran dariMu. Kurniakanlah keampunan yang tidak bertepi dariMu serta keutamaan untuk kami menemui malam Al Qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Ameen Ya Rabbal Alameen 

P/S: Semoga puasa yang kita lakukan adalah yang terbaik dari tahun sebelum ini,

0 comments:

Post a Comment